PAS menyifatkan DAP sebagai penakut kerana tidak berani untuk mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) mengikut arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
Naib Presidennya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, parti itu seolah-olah mahu menyembunyikan sesuatu sehingga tidak berani untuk melaksanakan arahan yang mudah daripada ROS kerana itu merupakan tanggungjawab mereka bagi memenuhi tuntutan undang-undang.
Malah katanya, aduan mengenai manipulasi pemilihan CEC pada 2012 itu dibuat oleh ahli-ahli DAP sendiri yang pastinya ada asas.
“Apa hendak takut buat pemilihan semula dan apa hendak ditakutkan kalau tidak ada masalah dalaman,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini, semalam.
Jumaat lalu, ROS mengarahkan DAP mengadakan pemilihan CEC yang baharu secara telus bagi membolehkan perwakilan memilih 20 anggotanya yang sah dan diiktiraf.
Walau bagaimanapun, setiausaha agungnya yang belum disahkan jawatan, Lim Guan Eng mempertikaikan arahan ROS dan bertegas untuk tidak akan mengadakan pemilihan semula CEC yang baharu dengan alasan parti itu telah berbuat demikian pada 29 September 2013.
Mengulas lanjut, Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, DAP perlu menanggung implikasi pada masa depan sekiranya mereka ingkar dengan arahan ROS tersebut.
“Negara kita ada undang-undang, mengapa perlu ingkar?” soalnya.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Amar berkata, kerajaan PAS Kelantan akan memberi komitmen untuk menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dalam tempoh terdekat. Katanya, program itu melibatkan orang ramai dan perlu diadakan mengikut tarikh yang sesuai.
0 comments:
Catat Ulasan
Baca cerita lanjut di http://semuthitam80.blogspot.com
Ruangan Komen ini terpaksa dimoderatekan kerana terdapat komen yang tidak berkaitan seperti 'Perkhidmatan Ghaib' yang ditawarkan oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.
Pembaca boleh meninggalkan komen asalkan ianya tidak melanggar Akta SKMM. Namun perlu diingatkan, sebarang komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab pembaca sendiri dan ianya tidak ada kaitan dengan admin blog ini.
Sekian, Terima Kasih.