Dihening subuh hari ini, saya teringatkan sebuah kisah yang diceritakan oleh sahabat saya lebih kurang sebulan yang lalu. Jika kita ingat kembali, isu hangat pada ketika itu ialah Penggunaan Kalimah Allah dalam majalah The Herald Catholic Weekly. Saya berharap sepenuh jiwa dan raga saya agar isu ini Jangan Sesekali Kita Lupakan. Ini juga sebagai peringatan kepada pemimpin kerajaan agar dapat menangani isu ini dengan bijak. Ia berkaitan dengan aqidah dan tauhid umat Islam bukan sahaja di Malaysia tetapi diseluruh dunia.
Kisah yang diceritakan oleh sahabat saya ini berkenaan perbualan beliau dengan sahabat-sahabatnya satu hari di kedai mamak. Apabila isu ini dibangkitkan, ada sesetengah dari mereka mengatakan jika kita tidak membenarkan mereka, Herald Catholic itu menggunakan perkataan Allah, bererti kita mengiyakan pandangan bahawa tuhan itu ada dua. Nauzubillah. Ada juga dikalangan mereka, sahabat kepada sahabat saya tadi menyatakan bahawa semua agama Sumawi yakni agama yang diturunkan dengan kitab termasuk Yahudi dan Nasrani (Kristian) berhak menggunakan Kalimah Allah. Nauzubillah. Tatkala mendengar apa yang dibualkan oleh mereka ini, saya cuma mengharapkan petunjuk dari Allah S.W.T.
Malam tadi, secara tidak sengajanya saya membaca sebuah Artikel dalam majalah Solusi (Edisi ke 11) hasil tulisan Mohd Nidzam Abd Kadir mengenai Plularisme Agama. Beliau membuka tulisan beliau dengan ungkapan berikut: ''Semua agama adalah sama. Semuanya mempunyai tuhan dan mengajak umatnya ke arah kebaikan didunia dan juga diakhirat''. Ungkapan ini sering didengar dan diucapkan oleh orang-orang yang berjuang agar kita bertoleransi dalam perbezaan aqidah dan agama. Ucapan seperti ini yang membuatkan DSAI mendapat perhatian dalam Majalah Forbes - 100 Most Influential Speech awal tahun ini. Maaf sekiranya penulisan saya ini dilihat bercampur dengan politik, tetapi hakikat ini kita perlu sedar. Persoalan mengapa Penasihat PKR dan seluruh kepimpinannya masih berpegang teguh kepada prinsip yang menyatakan bahawa tidak salah The Herald Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah perlu ditanya.
Pluralisme agama merujuk kepada suatu fahaman bahawa semua agama adalah sama. Dalam fahaman ini turut menyatakan bahawa tidak kira sama ada individu itu Muslim atau tidak, ianya tidak banyak perbezaan dari mereka yang beragama Kristian, Yahudi, Budha dan sebagainya.
Hakikatnya, pandangan bahawa semua agama adalah sama tidak mengikut nas dalam Al-Qur'an yang dengan jelas membuktikan bahawa Islam adalah agama yang sebenar. Firman Allah S.W.T dalam Surah Ali Imran yang bermaksud:
Sesungguhnya al-din (yang diredai) disisi Allah adalah Islam. - Surah Ali Imran ayat 19.
Dan sesiapa yang mencari selain Islam sebagai al-din, maka tidak diterima daripadanya dan dia termasuk dalam golongan yang rugi di Akhirat nanti. - Surah Ali Imran ayat 85.
Walaupun didalam sirah Nabi Muhammad S.A.W menunjukkan bahawa perjuangan Baginda adalah untuk menyampaikan dakwah Islam, masyarakat Arab pada ketika itu sudah mengenal Allah seperti mana yang diterangkan dalam Surah Al-Zumar ayat 38 yang bermaksud:
Dan jika kamu bertanya kepada mereka siapakah yang menjadikan Langit dan Bumi, nescaya mereka akan berkata Allah (yang menciptakannya).
Persoalan mengapa masyarakat Arab pada ketika itu menyembah berhala diterangkan bahawa alasan mereka adalah untuk mendekatkan diri dengan Allah. Maka firman Allah S.W.T yang bermaksud:
Maka sembahlah Allah dengan memurnikan ketaatan bagi-Nya. Ingatlah hanya bagi Allah agama yang bersih. Dan golongan yang mengambil perlindungan selain Allah (berkata) bahawa kami tidak menyembah mereka melainkan agar mereka mendekatkan kami kepada Allah. - Surah Al-Zumar, ayat 3.
Jelas disini bahawa ibadah kepada Allah mestilah tidak bercampur aduk dengan perkara syirik walaupun sedikit. Begitu juga jika niatnya sebaik mana sekali pun, ia mesti berpandukan ajaran Al-Qur'an.
Dalam Islam, tuhan dipanggil Allah manakala dalam agama Kristian ada konsep Trinity. Walaupun ianya masih menjurus ke arah kekuasaan dan keesaan tuhan, ia tetap bercanggah dengan nas Al-Qur'an sepertimana yang dijelaskan dalam Surah Al-Ikhlas ayat 1-5 yang menyatakan bahawa Allah tidak pernah beranak atau diperanakkan. Ianya sangat-sangat berbeza dengan apa yang dikatakan oleh penganut agama Kristian dengan konsep Trinity mereka. Hakikat ini sahaja sudah jelas bagi kita bahawa Allah dalam Islam tidak sama dengan Allah dalam agama Kristian mahupun dalam agama Yahudi.
Keadaan ini tidak mengambarkan bahawa Allah itu berlainan. Hakikat bahawa pada asalnya agama Sumawi itu datangnya dari Allah S.W.T telah diputar belitkan oleh mereka yang terdahulu sehingga kedatangan Nabi Muhammad S.A.W sepertimana yang diterangkan sebelum ini, yakni masyarakat Arab menyembah berhala. Golongan Quraisy pada ketika itu pernah juga menawarkan kepada Nabi Muhammad S.A.W agar menyembah tuhan mereka selama setahun, kemudian mereka menyembah tuhan Muhammad selama setahun. Tawaran ini dijawab secara lansung dengan turunnya wahyu yang bermaksud:
Aku tidak menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak menyembah apa yang aku sembah. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agama ku. - Surah Al-Kafirun, ayat 1 hingga 6.
Konsep tauhid kepada Allah adalah konsep asas didalam Islam. Oleh sebab itu, Al-Qur'an menolak fahaman bahawa Allah mempunyai anak. Dakwaan golongan Yahudi mengatakan bahawa U'zair itu adalah anak Allah, manakala Nasrani (Kristian) mendakwa bahawa Nabi Isa adalah anak Allah turut ditolak oleh nas Al-Qur'an dengan firman Allah:
Dan golongan Yahudi berkata bahwa U'zair adalah anak Allah, manakala golongan Nasrani berkata bahawa Isa adalah anak Allah. Itu adalah kalam mereka melalui mulut mereka. Mereka menyerupai kalam golongan kafir sebelum mereka. - Surah At-Taubah, ayat 30.
Maka jelaslah disini melalui penjelasan dengan nas Al-Qur'an, keyakinan kita sebagai seorang Muslim bahawa hanya Islam sahaja sebagai agama yang diredai Allah S.W.T. Kita tidak boleh sama sekali menerima konsep Plularisme Agama sepertimana yang dituntut oleh The Herald Catholic Weekly itu. Namun ia juga tidak bermakna kita harus memusuhi mereka dan agama lain sebaliknya berdoa agar rahmat Islam tersebar ke dalam diri setiap Insan. Insya Allah.
Fikir-fikirkan lah.
Catatan: Sumber diperolehi dari Majalah Solusi, Isu No.11.
Hasil tulisan Mohd Nidzam Abd. Kadir, Lulusan UIAM, yang juga pensyarah UIAM. Turut menimba Ilmu di Pondok Pasir Tumboh, Kelantan seterusnya menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar dan American Open University, Kaherah.
0 comments:
Catat Ulasan
Baca cerita lanjut di http://semuthitam80.blogspot.com
Ruangan Komen ini terpaksa dimoderatekan kerana terdapat komen yang tidak berkaitan seperti 'Perkhidmatan Ghaib' yang ditawarkan oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.
Pembaca boleh meninggalkan komen asalkan ianya tidak melanggar Akta SKMM. Namun perlu diingatkan, sebarang komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab pembaca sendiri dan ianya tidak ada kaitan dengan admin blog ini.
Sekian, Terima Kasih.