Inilah konflik yang dialami oleh seorang pemimpin yang pada mula-mula dahulu konon mahu meniru pentadbiran Umar Abdul Aziz. Habis semua orang pada waktu itu mengagumi beliau. Kata mereka yang taksub dengan perkembangan waktu itu, ''Lihat. Seorang yang bukan Islam mahu mengikut jejak langkah Khalifah Islam. Jadi kita yang beragama Islam sejak dari lahir ini kenapa tidak?'' Itu kata mereka pada waktu itu. Memang tidak salah, alangkah bagusnya jika seorang pemimpin mempunyai niat seperti itu. Tiada siapa pun yang kata bahawa niat si Ketua Menteri itu salah.
Maka dari detik itu, beliau dilihat sebagai wira oleh segelintir orang-orang melayu di Pulau Pinang. Habis semua kepimpinan Melayu PKR dan PAS Pulau Pinang menjunjung beliau serta memperakui kredibiliti beliau sebagai seorang Ketua Menteri. Sampaikan perletakkan jawatan Timbalan Ketua Menteri oleh seorang ADUN PKR juga bukan salah Ketua Menteri. Tapi, Timbalan Ketua Menteri itu yang ada masalah, kata mereka.
Hari ini, lain pula senarionya. Tiba-tiba Laksamana yang selama ini disangka Tuah, rupanya Jebat dengan agenda yang tersembunyi. Dengan dasar terbuka serta kesamarataan yang menjadi tunjang perbualan mereka selama ini, rupa-rupanya kosmetik belaka, Make-up. Kisah teladan yang beliau, Ketua Menteri itu mahu teladani dari kaedah pemerintahan Umar Abdul Aziz rupanya hanya perisai untuk mendapat perhatian semata-mata. Tembelang beliau pecah bukan disebabkan oleh orang lain tetapi disebabkan oleh rakan beliau sendiri.
Kita dapat lihat dan baca dimana-mana sahaja media yang ada sekarang memperkatakan tindakan si Ketua Menteri ini sebagai Diktator atau Kuku Besi, Chulvanist dan berfikiran secara komunis. Bukan orang lain yang cakap, jangan salah faham pula. Yang mengeluarkan kenyataan ini adalah dari barisan kepimpinan PKR sendiri. Dan mereka bukan sahaja dari bangsa Melayu, tetapi turut melibatkan Ahli Parlimen yang berbangsa Cina. Adakah ini juga dikatakan retorik politik pembangkang?
Bila tembelang beliau pecah, si Ketua Menteri itu mula mencari perlindungan. Seperti biasa beliau akan mencari Penasihat PKR seperti yang pernah beliau lakukan sebelum ini. Mahu dijadikan cerita, Ketua Pembangkang di Parlimen yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat ini sedang sibuk. Bukan di Parlimen untuk menyelesaikan masalah rakyat, tapi di Mahkamah. Si Penasihat ini lebih banyak kerja di Mahkamah dari di Parlimen. Rakyat Permatang Pauh sebulat suara memilih beliau untuk mewakili mereka di Mahkamah dari di Parlimen. Apa tidaknya, cuba kita kira berapa banyak saman itu dan ini, rayuan itu dan ini yang beliau buat selama beliau menjadi Ahli Parlimen? Dari mahkamah Sesyen ke mahkamah tinggi dan yang terbaru mahkamah syariah pula. Maka tugas beliau sebagai Ahli Parlimen sepatutnya ditukar kepada Ahli Mahkamah pula. Gelaran MP digantikan dengan gelaran MC.
Oleh kerana bantuan yang diharapkan tidak mungkin dapat diperolehi dalam masa terdekat ini, si Ketua Menteri mula mencari alasan lain. Inilah perkara yang saya katakan tadi. Jika beliau, si Ketua Menteri itu, seorang yang beriman kepada Allah S.W.T, beliau sepatutnya dengan berani mengaku kesilapan sendiri dan memohon maaf. Sepertimana yang dilakukan oleh umat Islam setiap hari memohon keampunan Allah S.W.T 5 kali sehari semalam. Bukan sekali, tetapi 5 kali. Sebaliknya, si Ketua Menteri itu masih tidak mengakui salah sendiri.
Ini boleh kita katakan sebagai bahan retorik baru puak pembangkang. Jika ada salah mereka, mereka tujukan balik kepada UMNO dan Barisan Nasional. Contohnya, dulu mereka sendiri dengan bangga mendabik dada mengatakan bahawa ada 10 orang ADUN Perak mahu melompat parti. Sebaliknya, 3 orang dari barisan mereka dan seorang yang baru seminggu keluar UMNO keluar Pakatan Rakyat dan jadi calon bebas menyokong Barisan Nasional. Mereka salahkan UMNO menjadi dalang. Ke retorik seumpama ini sebenarnya bahan mainan mereka?
Sekarang, terang-terang kenyataan dari Ahli Parlimen Bayan Lepas dan Nibong tebal bahawa mereka tidak berhasrat untuk keluar Parti tetapi si Ketua Menteri tetap bersungguh-sungguh menyalahkan UMNO menjadi punca retaknya Pakatan Rakyat di Pulau Pinang.
Terus terang juga boleh kita umpamakan beliau, si Ketua Menteri ini seperti perumpamaan Melayu:
''Sendiri tak reti menari, tapi lantai yang dikata berjongkang-jongkit.''
Selepas ini bolehlah kita ceritakan kepada anak-anak kita mengenai perumpamaan ini dengan menceritakan kepada mereka perihal seorang Ketua Menteri di Pulau Pinang agar mereka lebih senang memahaminya. Boleh juga kita paparkan gambar beliau yang sedang menari diatas gambar wakil rakyat yang keluar Parti sebelum ini sebagai medium pembelajaran anak-anak kita. Biar mereka lihat betapa kebudak-budakannya sifat seorang Ketua Menteri yang pada awalnya ingin menjadikan Umar Abdul Aziz sebagai idolanya.
Fikir-fikirkan lah.
0 comments:
Catat Ulasan
Baca cerita lanjut di http://semuthitam80.blogspot.com
Ruangan Komen ini terpaksa dimoderatekan kerana terdapat komen yang tidak berkaitan seperti 'Perkhidmatan Ghaib' yang ditawarkan oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.
Pembaca boleh meninggalkan komen asalkan ianya tidak melanggar Akta SKMM. Namun perlu diingatkan, sebarang komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab pembaca sendiri dan ianya tidak ada kaitan dengan admin blog ini.
Sekian, Terima Kasih.