Rabu, Februari 10, 2010

Salam 1Malaysia.

Hari ini sekali lagi kita akan menelusuri sejarah UMNO dan Bangsa Melayu di Malaysia. Minggu lepas, posting saya berkisar mengenai Kronologi Pemuda UMNO Malaysia. Minggu ini pula saya ingin mengenegahkan satu subjek yang sepatutnya dipandang berat oleh setiap individu terutamanya yang berbangsa Melayu.

Awal minggu ini, Mursyidul Am PAS Pusat, Datuk Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat dengan secara terbukanya menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan UMNO. Ini satu perkembangan yang sangat-sangat tidak disangka oleh mana-mana pihak, baik dari UMNO mahupun dari PAS sendiri. Sebelum ini, pelbagai isu telah diperkatakan. Tuntutan Royalti minyak, Isu Kalimah Allah dan Isu Arak di Selangor menjadi bahan berita sebelum ini dimana-mana media. Malah jika kita masih ingat, seawal peralihan kuasa Datuk Seri Mohamad Najib Bin Tun Abdul Razak, isu kerjasama atau perpaduan ini telah pun diketengahkan oleh Presiden PAS, Haji Hadi Awang sendiri. Tetapi pada ketika itu, Nik Aziz berkeras menolak saranan Presidennya dengan mengatakan bahawa UMNO tidak boleh dipercayai. Oleh itu, Haji Hadi terpaksa mengeluarkan kenyataan bahawa cadangan beliau itu adalah dengan UMNO yang dipimpin oleh Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi. Maka tidak hairanlah jika hari ini, apabila Nik Aziz menyatakan bahawa PAS mahu bekerjasama dengan UMNO, ianya mengundang pelbagai spekulasi dari kedua-dua belah pihak.

Melihat ke dalam sejarah Tanah Melayu suatu ketika dahulu, Melayu hanya memperjuangkan hak masing-masing. Jika kita lihat zaman penjajahan British, pejuang-pejuang Melayu seperti Dol Said, Tok Ku Paloh, Tok Gajah, Mat Kilau, Tok Janggut, Maharaja Lela dan sebagainya hanya dikenali di Negeri masing-masing sahaja. Perhubungan mereka hanya berlaku digarisan sempadan sahaja. Maka keadaan ini menjadikan perjuangan mereka itu sukar.

Setelah berakhirnya Perang Dunia Kedua dan setelah Jepun menyerah kalah, British kembali menakluki Tanah Melayu. Mereka mentadbir sepertimana yang pernah mereka lakukan dahulu. Malah agenda mereka dan ancaman terhadap bangsa Melayu menjadi semakin meruncing. Kedudukan serta kewujudan bangsa Melayu sangat-sangat kritikal dan membimbangkan.

Keadaan ini berterusan sehingga Dato Onn Jaafar menggesa seluruh penduduk Melayu agar bersatu bagi menentang Gagasan Malayan Union pada ketika itu. Pada Januari 1946, Dato Onn telah menubuhkan Pergerakan Melayu Semenanjung seterusnya mengumpul kesemua persatuan-persatuan Melayu lain sebanyak 42 buah dengan mengadakan Kongres Melayu di Kuala Lumpur pada 4 Mac 1946. Kemudian pada 11 Mei 1946 tertubuhlah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PERKEMBAR) atau UNITED MALAY NATIONAL ORGANISATION (UMNO). Inilah pertama kalinya dalam sejarah Melayu mereka bergabung dan bersatu menentang penjajahan seterusnya menuntut Kemerdekaan.

Walaubagaimana pun, mungkin hakikat bahawa Melayu itu amat sukar bersatu, mereka mula berpecah belah selepas mengecapi Kemerdekaan. Sebelum Tanah Melayu diistihar sebagai sebuah Negara Merdeka, perpecahan ini telah pun berlaku. Dato Onn Jaafar sendiri yang sebelum ini menggesa perpaduan telah keluar meninggalkan UMNO setelah cadangan beliau agar keahlian UMNO dibuka kepada semua bangsa ditolak oleh Perwakilan. Beliau seterusnya telah menubuhkan Parti Negara.

Setelah Tanah Melayu dinobatkan sebagai negara yang Merdeka, mungkin pada persepsi saya sendiri, Melayu mula merasakan diri mereka selesa. Maka pada pemilihan UMNO sekitar tahun 1960an, jawatan Presiden UMNO telah dipertandingkan. Pada ketika itu, Tunku Abdul Rahman telah ditentang oleh Haji Ahmad Fuad yang akhirnya keputusan telah menyebelahi Tunku. Haji Ahmad Fuad tewas kepada Tunku sebanyak 46 undi dan mengakibatkan Haji Ahmad Fuad keluar dari UMNO. Beliau seterusnya menubuhkan Parti Agama Islam Se-Malaya atau PAS. Namun demikian beliau tidak menjadi ahli bagi Parti tersebut. Sejarah seterusnya telah mencatatkan bahawa PAS akhirnya berpecah kepada 4 termasuk BERJASA dan AKIM. Perpecahan ini adalah akibat perbalahan dasar yang berlaku dalam PAS itu sendiri.

Melayu seterusnya mengalami transformasi dan berkembang sejak menikmati Kemerdekaan. Sekali lagi pada tahun 1988, Melayu berpecah buat sekian kalinya. Perpecahan ini juga berpunca selepas Pemilihan Presiden UMNO tahun sebelumnya dimana Tengku Razaleigh Hamzah kecundang kepada Dr Mahathir Mohamed. Akibat kekecewaan itu, Tengku Razaleigh telah menubuhkan Semangat 46.

Diakhir dekad tahun 1999, Melayu turut mengalami perpecahan setelah Dato Seri Anwar Ibrahim pula dipecat dari jawatan Timbalan Preseiden UMNO. Beliau juga dilucutkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia. Pemecatan beliau ini mengakibatkan rusuhan dan demonstrasi jalanan pada tahun tersebut.

Sekarang cuba kita bayangkan seketika. Seandainya Melayu itu bersatu padu, sebuah kerajaan boleh kita tumbangkan. Bukan calang-calang, kerajaan British yang terkenal tumpas ditangan orang Melayu. Hebat atau tidak Melayu itulah hakikatnya. Tetapi akibat sifat mementingkan diri sendiri, sikap tidak puas hati dan kurang rasa syukur dalam diri kita, maka berlakulah perpecahan. Sebuah institusi yang suatu ketika dahulu diibaratkan boleh mengalih sebuah gunung, akhirnya berpecah belah.

Fikirkan wahai bangsa ku sekalian. Melayu merupakan majoriti utama dalam masyarakat di negara ini. Malah kita telah pun dinobatkan sebagai bangsa yang paling dominan di dalam negara ini. Tetapi lihat pencapaian kita sendiri. Dimana kedudukan kita sebenarnya? Populasi Melayu di Malaysia ini pernah mencatatkan angka 51% dan bangs Cina sebanyak 21% sahaja. Tetapi seandainya angka 51% itu dibahagikan kepada 3, maka hakikatnya jumlah kita sangat kurang dari bangsa Cina. Inilah diantara sebab kenapa Melayu tidak dapat berkembang maju dalam negara yang didominasi mereka sendiri. Hanya semata-mata disebabkan oleh politik dan berbeza pendapat, bangsa Melayu yang berdaulat ini mundur dan tidak dapat bersatu. Mengapa kita tidak dapat mencontohi bangsa lain yang dapat mengenepikan fahaman politik serta kepentingan peribadi mereka semata-mata demi bangsa? Oleh itu, harapan saya sebagai anak Melayu yang jiwanya Merdeka sangat berharap suatu hari nanti bangsa Melayu kembali kuat dengan ikatan Ukhwah yang sebenarnya. Insya Allah.

Fikir-fikirkan lah.

0 comments:

Catat Ulasan

Baca cerita lanjut di http://semuthitam80.blogspot.com

Ruangan Komen ini terpaksa dimoderatekan kerana terdapat komen yang tidak berkaitan seperti 'Perkhidmatan Ghaib' yang ditawarkan oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.

Pembaca boleh meninggalkan komen asalkan ianya tidak melanggar Akta SKMM. Namun perlu diingatkan, sebarang komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab pembaca sendiri dan ianya tidak ada kaitan dengan admin blog ini.

Sekian, Terima Kasih.

SUPPORTED BY:

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lain - Lain Artikel

Disclaimer

Assalamualaikum. Kepada semua pengunjung yang dihormati.

Blog ini khusus menceritakan mengenai isu - isu semasa. Perjuangan utama adalah bagi menegakkan yang Hak dan menentang yang Batil.

Artikel dalam blog ini sekadar ingin meningkatkan paradigma dan memprokasikan minda pengunjung.

Maka adalah disarankan kepada pembaca yang dihormati agar menggunakan otak dan akal yang dianugerahkan Allah S.W.T sebaik yang mungkin.

Bahan - bahan didalam blog ini boleh diulang terbit oleh mana - mana pihak. Namun pemilik blog ini tidak akan bertanggungjawab terhadap penyalah-gunaan asal oleh orang lain untuk tujuan propaganda mereka.

Sekian, terima kasih.

Ping