SEKIAN lama tidak menghidupkan watak gadis liar, pelakon serba boleh, Nabila Huda Suhaimi mengaku segan apabila menonton lakonannya dalam filem Jalan Kembali... Bohsia 2 yang akan menemui penonton, Khamis depan.
Karya sentuhan Syamsul Yusof itu menyaksikan Tasya lakonan Nabila yang semakin jauh hanyut apabila bergantung hidup dengan samseng jalanan, Keting (Sofi Jikan).
Bukan saja menjadi pemuas nafsu Keting, bahkan Tasha taksub dengan dadah dan terbabit dengan jenayah rompakan.
Ketika ditemui sejurus selepas prebiu filem itu baru-baru ini, Nabila menjelaskan, dia berdebar dan risau dengan reaksi penonton.
Antara persoalan bermain di mindanya, adakah penonton dapat menerima persembahannya sementelah sudah lama dia tidak melakonkan watak sebegitu.
“Sejak tahun lalu, saya banyak melakonkan watak positif dan wanita berkerjaya. Kali terakhir saya jayakan watak gelap adalah menerusi filem ini dan kalau ikutkan, penggambaran dilakukan selepas saya melahirkan anak dan baru sekarang ditayangkan.
“Sejujurnya, saya risau dengan penerimaan penonton. Yelah, takut pula ada yang anggap persembahan saya nampak ‘over’.
Lagipun dengan peningkatan usia, rasa tak sesuai pula bawa karakter remaja liar,” katanya yang menyifatkan sekuel Bohsia... Jangan Pilih Jalan Hitam ini antara sentuhan terbaik Syamsul apabila ada elemen aksi, komedi, drama dan sentuhan kerohanian.
Berbual lanjut perkembangan terbaru selain filem terbitan Skop Productions yang turut dibintangi Syamsul sendiri, Salina Saibi, Zizan Raja Lawak dan Serena Redzuawan itu, ibu kepada si comel, Kheisya Laila ini baru saja tamat penggambaran drama Nikallaya untuk TV AlHijrah yang menuntutnya bertutur dalam bahasa Thai dan dialek Kelantan.
Selama 35 hari berkampung di Jitra, Kedah, Hatyai dan Songkla, Thailand, Nabila berdepan pengalaman yang sungguh memenatkan, malah baginya, inilah produksi paling mencabar setakat ini.
Selain terpaksa berjauhan dengan puteri tunggal kesayangan, bukan mudah menggunakan bahasa yang asing dalam hidup sehariannya. Bahkan, berkomunikasi dengan pelakon dari negara gajah putih umpama itik dan ayam bercakap.
“Terus-terang, saya tidak tahu bercakap dialek Kelantan dan bahasa Siam. Di situ juga saya belajar dan bagi mengelakkan salah dialog, saya terpaksa berpandukan kepada kad disediakan kru.
“Boleh dikatakan semua sudut ada kad yang tulis dialog. Nak bercakap dengan rakan pelakon dari Thailand pun susah sebab mereka tidak tahu bertutur dalam Bahasa Inggeris.
“Karakter saya sebagai gadis Siam bernama Nikallaya yang mukanya buruk sebelah banyak bermain dengan emosi. Memang tertekan di lokasi, bahkan saya tidak pernah rasa sepenat ini,” katanya yang berlakon di samping Iqram Dinzly, Shah Iskandar dan Normah Damanhuri.
0 comments:
Catat Ulasan
Baca cerita lanjut di http://semuthitam80.blogspot.com
Ruangan Komen ini terpaksa dimoderatekan kerana terdapat komen yang tidak berkaitan seperti 'Perkhidmatan Ghaib' yang ditawarkan oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.
Pembaca boleh meninggalkan komen asalkan ianya tidak melanggar Akta SKMM. Namun perlu diingatkan, sebarang komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab pembaca sendiri dan ianya tidak ada kaitan dengan admin blog ini.
Sekian, Terima Kasih.