Siapa menduga, gadis berusia 22 tahun ini akhirnya berjaya menutup mulut banyak pihak yang sering mempertikai kebolehannya.
Anak gadis penyanyi terkenal 1980-an dan 1990-an, ND Lala ini mengakui sering diperlekeh dan dipersenda. Ada kala kenyataan dilontar sangat pahit, malah ada juga yang menghiris secara halus.
“Saya sudah biasa dengan cakap-cakap orang. Memang daripada dulu lagi orang cakap macam-macam. Namun semuanya saya telan dan yakin dengan rezeki yang Allah beri. Saya selalu positifkan diri dan bercakap pada diri sendiri yang saya lebih baik daripada orang lain.
“Bukan bermakna saya perasan ‘bagus’, sebaliknya ia adalah kata-kata yang saya ungkapkan dalam hati setiap kali diperlekeh atau dipersenda, biarpun saya sudah buktikan kemampuan saya sebagai penyanyi.
“Saya juga sering ingatkan diri sendiri bahawa Allah kurniakan orang seperti ini di sekeliling kita untuk ingatkan diri sendiri. Ia sebagai satu ruang untuk kita memperbaiki diri. Ayah selalu pesan ‘apa saja cacian, kena buktikan’.
“Maksudnya, walau dicaci macam mana sekalipun, saya kena buktikan pada mereka yang mencaci bahawa saya bukan setakat cakap kosong tapi saya buktikan dengan sesuatu yang boleh dibanggakan diri dan keluarga,” kata Shila tenang.
Katanya, ini bukan kali pertama dia dihimpit kata-kata berbaur senda, malah ketika membuktikannya dengan Anugerah Emas pada 2008 di Penang Shanghai World Star Quest, orang tetap bercakap.
Begitu juga apabila menang tempat kedua dalam pertandingan One In A Million musim ke-2, orang masih bercakap.
Namun kata Shila, semua itu langsung tidak mematahkan semangatnya. Baginya, rezeki Allah yang beri dan apa saja cacian, dia kena buktikan sebaliknya.
“Syukur berkat kesabaran, saya berjaya buktikan sikit demi sikit. Saya sangat bersyukur kerana ada keluarga dan Sharnaaz yang menyokong dan memberi kata-kata semangat,” katanya.
Sejurus pulang dari Shanghai, jadual Shila mula padat. Apatah lagi dia cuma ada masa tiga minggu berada di Malaysia sebelum terbang semula ke Shanghai untuk tujuan promosi.
Dek kesuntukan masa, hampir semua media cetak dan elektronik bukan setakat berbahasa Melayu, malah media bukan berbahasa Melayu turut mengejarnya. Senario ini jauh berbeza dengan segelintir artis yang masih berada dalam ‘angan-angan’ mereka sendiri.
Sesi fotografi bersama SELEBRITI minggu lalu berjalan lancar dan penuh mesra. Daripada sikap dan tingkah lakunya, tidak hairan Shila dicemburui banyak pihak.
Shila mesra melayan setiap soalan, malah kemesraan dan imej positif itu juga yang dibawa lantas melayakkannya bergelar juara.
“Selama berada di pertandingan itu, saya bersyukur sebab semua peserta dilayan sama rata. Walaupun saya berhijab, mereka tetap layan saya dengan baik. Tidak ada layanan berbeza hanya kerana saya beragama Islam dan berhijab.
“Mereka juga sangat menghormati antara satu sama lain. Pada mulanya, mereka menganggap cara saya berpakaian adalah fesyen tapi hinggalah di peringkat akhir, mereka meminta saya menukar pakaian disediakan.
“Namun saya jelaskan kepada mereka, cara saya berpakaian menjadi sebahagian daripada diri saya sekarang, malah ia tuntutan agama saya.
“Mereka faham dan menyediakan segala keperluan yang saya inginkan untuk pertandingan itu,” katanya bercerita saat berada di kota metropolitan itu, September lalu.
0 comments:
Catat Ulasan
Baca cerita lanjut di http://semuthitam80.blogspot.com
Ruangan Komen ini terpaksa dimoderatekan kerana terdapat komen yang tidak berkaitan seperti 'Perkhidmatan Ghaib' yang ditawarkan oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.
Pembaca boleh meninggalkan komen asalkan ianya tidak melanggar Akta SKMM. Namun perlu diingatkan, sebarang komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab pembaca sendiri dan ianya tidak ada kaitan dengan admin blog ini.
Sekian, Terima Kasih.