PERKHABARAN yang SS terima baru-baru ini cukup membingitkan telinga kerana pelakunya bukanlah daripada kalangan pemegang anugerah dan SS tengok pun artis muda ini tidaklah seberapa diperkatakan namanya.
Apatah lagi usianya bertapak dalam bidang seni yang baru setahun jagung, SS rasa perlakuannya terhadap satu produksi baru-baru ini cukup tidak beretika sehinggakan penggambaran ditamatkan dengan kadar segera.
Kisahnya, dia menjadi artis jemputan untuk menjayakan satu program TV dan seluruh warga produksi pun harapkan segalanya berjalan lancar serta seronok seperti penggambaran dengan artis lain.
Yelah, sudah nama program pun untuk bersantai-santai walaupun terpaksa berjemur di bawah terik matahari. Sekurang-kurangnya, tidaklah terasa sangat bahang cuaca jika artis tadi memberi kerjasama.
Ini tidak. Kata teman SS, artis berkenaan bukan main lagi menarik muka sepanjang berada di lokasi. Hendak kata cuaca terlampau panas, tidak juga.
Malah, sewaktu sesi rakaman temu bual pun, nampak sangat sikap tidak profesionalnya yang menjawab soalan endah tak endah sehinggakan hos program berkenaan mati kutu hendak bertanya soalan.
Apa tidaknya, selain membuat muka ala-ala dia sudah menang banyak anugerah, jawapan yang diberikannya pun sepatah-sepatah. Kesimpulannya, memang perbualan itu hambar dan tak ‘best’ langsung!
Sebelum itu, ketika penggambaran sedang berlangsung pun, bukan main diva lagi artis terbabit yang nak buat cara dia sendiri saja tanpa mengikut arahan daripada produksi.
Sepatutnya, untuk rakaman aktiviti itu, artis tadi diminta wujudkan interaksi mesra bersama hos sekali dengan berjalan sekali sambil berkomunikasi.
Malangnya, artis tadi lebih rela bergerak lambat di belakang dan jelas tidak mahu berinteraksi dengan hos terbabit.
Seolah-olah dia hendak menunjukkan yang dia artis popular dan hos baru berkenaan belum lagi setanding dengannya. Amboi!
Disebabkan perlakuannya, barulah produser program berkenaan tahu begitu rupanya perangai artis terbabit sehinggakan dia sudah serik lagi untuk menjemputnya.
Bagi SS, tidak eloklah buat perangai sedemikian walau apa jua cerita di sebaliknya. Yelah, mungkin juga artis yang popular sangat itu penat, ataupun bengang sebab kena bangun awal, SS tiada komen.
Tapi, tunjukkanlah komitmen yang bagus. Sedangkan warga produksi lebih penat, tidak cukup tidur dan banyak berkorban, apalah sangat ‘pengorbanan’ untuk membuatkan penggambaran itu lebih seronok jika dibandingkan dengan apa yang dilalui mereka.
0 comments:
Catat Ulasan
Baca cerita lanjut di http://semuthitam80.blogspot.com
Ruangan Komen ini terpaksa dimoderatekan kerana terdapat komen yang tidak berkaitan seperti 'Perkhidmatan Ghaib' yang ditawarkan oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.
Pembaca boleh meninggalkan komen asalkan ianya tidak melanggar Akta SKMM. Namun perlu diingatkan, sebarang komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab pembaca sendiri dan ianya tidak ada kaitan dengan admin blog ini.
Sekian, Terima Kasih.