Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang akan diadakan semula mungkin akan menyaksikan sokongan akar umbi terhadap pasangan anak-beranak, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng merosot.
Bekas Ketua Cawangan DAP Taman Sri Sungai Pelek, Tan Tuan Tat berkata, hal ini disebabkan hilangnya kepercayaan akar umbi terhadap ketelusan kedua-dua pimpinan tinggi berhubung pemilihan yang lalu.
"Bila saya katakan kemungkinan akan ada perubahan bererti ramai akar umbi tak akan sokong Lim Kit Siang dan Lim Guang Eng kerana mereka benar-benar memalukan parti DAP ini. Bila semua orang sudah tahu manipulasi mereka, siapa lagi yang mahukan mereka menjadi proksi? Kita mesti tolak mereka keluar.
"Ada kemungkinan ramai ahli kaum India akan dilantik jadi ahli CEC," katanya kepada Antarapos.
Tambah Tan, pemilihan pada kali ini dijangka dijalankan dengan kehadiran pemerhati bebas serta melalui audit yang lebih telus.
"Kalau betul mereka ikut perlembagaan parti, mereka harus akur dengan keputusan yang dimuktamadkan. Jika kedudukan mereka terjatuh, apa boleh buat. Itulah yang dikatakan nasib mereka di atas tangan perwakilan," katanya lagi.
Tan selain itu turut menempelak parti itu yang dikatakan mengamalkan kronisme dalam pemilihan ahli CEC yang lalu, tanpa mengambilkira kredibiliti ahli yang dipilih tersebut.
Dedah Tan lagi, keengganan mereka untuk mengikuti arahan ROS juga berkait rapat dengan elemen Lima Harimau yang dilihat menjadi ancaman kepada pucuk pimpinan.
"Dan seperti yang dikatakan oleh buku (Laporan Ekuiti - Penipuan Pemilihan CEC) yang menyatakan mengenai 'Lima Harimau' (Teng Chang Khim, Boo Cheng Hai, Chow Kon Yeow, Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming), itu benar.
"Ada kemungkinan mereka ini akan dipilih sebagai ahli CEC dengan undian tertinggi sekali. Sekurang-kurangnya prinsip mereka lebih telus berbanding sekarang yang Guan Eng lakukan," katanya lagi.
Buku Laporan Ekuiti (Penipuan Pemilihan CEC) susunan Father Augustus Chen yang diterbitkan tidak lama dulu mendedahkan pekung sebenar parti tersebut terutama di sebalik isu penyelewengan pemilihan CEC yang berlangsung Disember lalu.
Buku tersebut selain itu memberi gambaran lengkap kemelut dalam DAP terutama isu penyelewengan kiraan undi, 753 perwakilan dinafikan hak mengundi, bantahan ahli akar umbi, manipulasi surat Pendaftar Pertubuhan (ROS), kronisme yang diamalkan keluarga Lim dan elemen Lima Harimau yang dilihat menjadi ancaman kepada pucuk pimpinan.
Namun sehingga kini tiada penjelasan konkrit oleh kepimpinan DAP terutama daripada Guan Eng dan Kit Siang.
LGE akan buat apa saja untuk kekal berkuasa atau harta yang dikumpul akan hilang atau disiasat.
BalasPadamWalau apapun yang berlaku, dia tetap akan berkata `Mana ada tipu ......