Sutradara Mamat Khalid sememangnya terkenal dengan filem bergenre komedi dan parodi.
Namun, apabila berbicara tentang Tanda Putera, beliau sanggup hadir ke pawagam bagi memastikan penonton memahami setiap plot dalam filem tersebut supaya tidak disalah tafsir.
Mengakui Tanda Putera sebagai filem hebat, Mamat secara jujur melahirkan rasa kecewa terhadap sesetengah pihak yang terus menggasak serta memfitnah naskhah Datin Paduka Shuhaimi Baba itu secara semberono tanpa menontonnya terlebih dahulu.
"Ini bukan cerita politik tetapi sekadar memaparkan perkara yang benar-benar berlaku. Janganlah kerana sebuah filem, kita semua berpecah-belah. Sebagai seorang pengarah, saya melihat Shuhaimi sangat berhati-hati dan menghormati semua pihak.
"Saya bukannya seorang yang rasis kerana filem ini berkisarkan tentang dua tokoh negara iaitu Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Ismail.
Oleh itu, saya akan mempertahankan filem ini kerana olahannya begitu baik. Malah, saya juga tahu apa yang sebenarnya berlaku pada zaman itu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir menonton filem berkenaan di TGV Cinemas di AEON Station 18 anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri Perak di sini malam tadi.
Yang turut hadir, Pengerusi Barisan NGO Negeri Perak, Mohd. Salleh Khan Mohd. Jaafar yang mewakili kira-kira 20 NGO.
Antara wakil NGO yang hadir termasuk Pewaris Malaysia Negeri Perak, Persatuan Kelab Belia Malaysia (MAYC) Perak, Persatuan Bekas Polis, Persatuan Silat Gayung Perak, Persatuan India Muslim Perak dan Badan Khidmat Islam Perak (Bakip).
Dalam pada itu, Mamat turut menyarankan lebih banyak pihak termasuk badan korporat serta pembikin filem tampil menghasilkan filem berunsur patriotisme bagi menarik minat golongan muda dalam menyemai rasa cinta kepada negara.
Ditanya sama Tanda Putera wajar ditayangkan menerusi kaedah 'wayang pacak', Mamat berkata, beliau berpendapat adalah lebih sesuai sekiranya filem itu hanya ditayang di pawagam.
"Kita mempunyai bilangan pawagam yang banyak. Lagipun, tayangan secara 'wayang pacak' mungkin mengganggu kesan bunyi yang ingin disampai serta diadun bersama dalam filem tersebut," katanya.
0 comments:
Catat Ulasan
Baca cerita lanjut di http://semuthitam80.blogspot.com
Ruangan Komen ini terpaksa dimoderatekan kerana terdapat komen yang tidak berkaitan seperti 'Perkhidmatan Ghaib' yang ditawarkan oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.
Pembaca boleh meninggalkan komen asalkan ianya tidak melanggar Akta SKMM. Namun perlu diingatkan, sebarang komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab pembaca sendiri dan ianya tidak ada kaitan dengan admin blog ini.
Sekian, Terima Kasih.