Penyanyi dan pelakon Soo Wincci mendedahkan sikap buruk seorang VIP bergelar Datuk yang sanggup menawarkannya wang RM30,000 hanya untuk menjadi penemannya makan malam.
Wincci, 27, berkata, insiden itu berlaku beberapa tahun lalu ketika di awal kemunculannya sebagai artis yang benar-benar menakutkannya.
"Ketika di awal kemunculan, ada beberapa individu bergelar Datuk menawarkan saya wang untuk mengajak melakukan perkara yang tidak sepatutnya.
"Malah saya pernah didatangi seorang Datuk selepas mengadakan persembahan nyanyian yang sanggup menawarkan saya wang RM30,000 untuk ajak keluar makan," katanya.
Wincci ditemui pada majlis pelancaran klip video ‘single’ terbaharunya Musim Asmara di pusat karaoke Red Box di Sogo di sini pada Rabu.
Tambah bekas Miss World Malaysia 2008 itu, situasi yang sama turut berlaku di Taiwan, tempat dia melebarkan sayap seninya.
"Dekat Taiwan lagi teruk, macam-macam ragam orang kaya di sana menawar diri.
"Tetapi mujurlah saya bukan seorang yang mudah mempercayai orang. Bayangkan apa yang berlaku kemudian jika saya melibatkan dengan orang kaya yang mahu mengambil kesempatan.
“Mungkin kerjaya seni yang selama ini saya usahakan akan musnah begitu sahaja," ujarnya.
Wincci juga menyifatkan insiden seperti itu adalah sebahagian daripada rencah kehidupan glamor yang perlu dilalui.
ni pa kalu artis melayu tentu mau punya lah.
BalasPadam