Tan Sri Musa Hassan mempertahankan polis daripada tuduhan Ketua Pemuda MIC T. Mohan yang meletakkan kegagalan Akta Ordinan Darurat (EO) disebabkan polis menerima rasuah dari tahanan yang menjalani hukuman di bawah akta tersebut.
Bekas Ketua Polis Negara (KPN) itu berkata selepas seseorang ditahan di bawah EO, mereka dijaga oleh pihak penjara dan polis sudah tidak ada kena mengena lagi.
“Polis tidak melepaskan warden yang terlibat menerima rasuah dari tahanan. Namun perkara ini dapat dikawal. Kegagalan EO bukanlah disebabkan perkara tersebut tetapi kelemahan teknik pemulihan yang diberikan kepada tahanan.
“Kita harus faham pemulihan dilakukan oleh pegawai penjara. Masyarakat juga jangan mudah salahkan kerajaan kerana apabila mereka dibebaskan, adakah masyarakat mahu menerima mereka?
Jadi jangan salahkan kerajaan jika mereka kembali ke kegiatan lama,” katanya dalam satu wawancara eksklusif bersama The Malaysian Insider di Petaling Jaya semalam.
Mohan semasa menghadiri seminar pencegahan jenayah yang dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan berkata kegagalan EO disebabkan polis menerima rasuah dari tahanan dengan membekalkan telefon pintar, minuman keras dan makanan yang enak.
“Apa dia buat bantu kaum India? MIC parti politik sendiri tak jaga kebajikan orang India kemudian salahkan EO, salahkan undang-undang. Mereka pun tak buat apa-apa,” kata Musa lagi.
Dalam sebuah forum pada Sabtu, Mohan berkata, jika masalah rasuah itu tidak dibanteras, undang-undang pencegahan seperti pindaan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) tidak akan berkesan dan tidak mampu menangani masalah gangsterisme.
Beliau berkata kenyataannya hanya merujuk kepada sebilangan anggota polis dan kebanyakan mereka melakukan tugas dengan baik.
Bacaan pertama pindaaan PCA dibacakan Ahmad Zahid minggu lalu di Dewan Rakyat bertujuan mengukuhkan kedudukan untuk menahan penjenayah tanpa bicara sehingga dua tahun.
Pindaan berkenaan akan menyamai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang tidak memasukkan semakan kehakiman, kecuali melibatkan langkah prosedur.
PCA ketika ini hanya membenarkan tahanan selama 72 hari terhadap individu yang ditahan di bawah akta berkenaan. Akta itu juga mengkehendaki tahanan dibawa ke mahkamah sebelum ditahan selama 72 hari.
Ia digunakan secara efektif sebelum ISA dikuatkuasakan dan melalui pindaan itu, Putrajaya ingin menggunakan akta berkenaan sekali lagi.
PCA bagaimanapun tidak meliputi kawasan Sabah dan Sarawak kerana ia dikuatkuasakan pada 1959 sebelum negeri Borneo menyertai Malaysia, dan pindaan hari ini akan memasukkan peruntukan melibatkan dua negeri berkenaan.
0 comments:
Catat Ulasan
Baca cerita lanjut di http://semuthitam80.blogspot.com
Ruangan Komen ini terpaksa dimoderatekan kerana terdapat komen yang tidak berkaitan seperti 'Perkhidmatan Ghaib' yang ditawarkan oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.
Pembaca boleh meninggalkan komen asalkan ianya tidak melanggar Akta SKMM. Namun perlu diingatkan, sebarang komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab pembaca sendiri dan ianya tidak ada kaitan dengan admin blog ini.
Sekian, Terima Kasih.