Setiausaha Kerja Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah, Azhar Ramlee kesal diarahkan untuk memberi penjelasan berhubung kenyataan beliau ke atas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Beliau berkata, arahan dari Pusat itu juga meminta beliau menjelaskan kenyataan mengenai Guan Eng dan Karpal Singh perlu kembali ke bangku sekolah kerana mereka berdua 'buta huruf' tentang Perlembagaan parti sendiri.
Jelas Azhar, apa yang dimaksudkan dengan kembali ke bangku sekolah adalah kedua-duanya perlu merujuk kepada Klausa 8 (6) Perlembagaan DAP yang menyebut Setiausaha Agung parti perlu memberi notis 10 minggu kepada semua Setiausaha Cawangan sebelum pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu.
"Ekoran kenyataan akhbar saya itu, pada 5 Oktober lalu saya telah diarahkan (Angkatan Muda PKR) Pusat untuk penjelasan berhubung kenyataan itu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pada 2 Oktober lalu, Azhar berkata tindakan Guan Eng mengugut akan mengheret Pendaftar Pertubuhan (ROS) ke mahkamah sekiranya parti itu terus didesak dalam isu pemilihan semula CEC hanya akan mencemarkan imej parti berkenaan.
Dalam pada itu, Azhar turut melahirkan rasa kesal apabila Ketua Angkatan Muda PKR Kedah, Azman Nasrudin mengeluarkan kenyataan dalam sebuah akhbar tabloid bahawa beliau bukan Setiausaha Kerja sebaliknya hanya seorang ahli biasa.
Katanya, kenyataan Azman itu keterlaluan kerana menafikan statusnya yang menyandang jawatan tersebut sejak lima tahun lalu.
"Selama lima tahun saya bersama beliau (Azman) dalam menggerakkan Angkatan Muda Kedah.
"Saya betul-betul kecewa apabila beliau mengeluarkan kenyataan saya bukan Setiausaha Kerja sebaliknya ahli biasa. Adakah beliau menafikan segala kerja yang saya lakukan bersama-sama Angkatan Muda Kedah," katanya.
0 comments:
Catat Ulasan
Baca cerita lanjut di http://semuthitam80.blogspot.com
Ruangan Komen ini terpaksa dimoderatekan kerana terdapat komen yang tidak berkaitan seperti 'Perkhidmatan Ghaib' yang ditawarkan oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.
Pembaca boleh meninggalkan komen asalkan ianya tidak melanggar Akta SKMM. Namun perlu diingatkan, sebarang komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab pembaca sendiri dan ianya tidak ada kaitan dengan admin blog ini.
Sekian, Terima Kasih.