Kementerian Kesihatan akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan seorang jururawat diberhentikan kerja berikutan enggan mengenakan pakaian seragam berlengan pendek di sebuah hospital swasta.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, tindakan akan diambil sekiranya hospital terbabit didapati melanggar peraturan di bawah Bahagian Amalan Perubatan Swasta Kementerian Kesihatan.
Beliau berkata, semua hospital di bawah kementerian mewajibkan jururawat beragama Islam menutup aurat dan arahan ini turut diguna pakai untuk hospital swasta.
"(Jururawat) hospital kerajaan semua tutup aurat kecuali dalam dewan bedah yang memerlukan doktor dan jururawat pakai lengan pendek. Namun mereka masih bertudung dan memakai gaun perubatan yang menutup aurat.
"Jururawat yang beragama Islam semua wajib (menutup aurat). Hospital swasta kena ikut kementerian. Dalam hal ini kita pun tidak tahu apa masalah yang sebenarnya, Bahagian Amalan Perubatan Swasta kementerian tengah siasat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Berkhatan Beramai-ramai anjuran Umno Bahagian Jelutong melibatkan 45 kanak-kanak lelaki di sini, hari ini.
Pada Jumaat lepas (4 Disember), seorang jururawat di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur, Naziah Sauni Samat, 24, mendakwa beliau diberhentikan kerja setelah enggan mengenakan pakaian seragam berlengan pendek.
Katanya, arahan supaya mengenakan pakaian seragam itu dikeluarkan selepas dua bulan dia bertugas di hospital swasta tersebut atas faktor kebersihan.
Gadis berkelulusan Diploma Kejururawatan itu sebelum ini bertugas di sebuah klinik sebelum bekerja di hospital swasta berkenaan pada 1 September lepas, sekembalinya dari Jepun sebagai jururawat peribadi selama setahun empat bulan.
0 comments:
Catat Ulasan
Baca cerita lanjut di http://semuthitam80.blogspot.com
Ruangan Komen ini terpaksa dimoderatekan kerana terdapat komen yang tidak berkaitan seperti 'Perkhidmatan Ghaib' yang ditawarkan oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.
Pembaca boleh meninggalkan komen asalkan ianya tidak melanggar Akta SKMM. Namun perlu diingatkan, sebarang komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab pembaca sendiri dan ianya tidak ada kaitan dengan admin blog ini.
Sekian, Terima Kasih.