Kegusaran pembangkang kononnya Akta Majlis Keselamatan memberi 'kelebihan' kepada kerajaan dalam mengisytiharkan sesebuah kawasan itu sebagai kawasan keselamatan ditepis oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Sewaktu ditemui Antarapos baru-baru ini, Musa mahu pihak pembangkang agar lebih menyedari manfaat yang ada disebalik undang-undang yang baru diluluskan pada 22 Disember lalu.
Malah sikap mereka yang lebih suka untuk memutar - belitkan fakta disebalik undang - undang tersebut hanya akan menimbulkan lebih banyak syak wasangka dan spekulasi dikalangan rakyat.
"Apabila orang dah buat (undang-undang) marah pula, dakwa ia zalim. Namun cadangan satu pun tiada. Pada saya ini adalah (tindakan) mempolitikkan sesuatu undang-undang. Jadi jangan buat begitu. Apa yang terbaik untuk menjaga keselamtan negara kita kena sokong.
"Jika kerajaan tidak menjaga keselamatan dan keamanan negara, ia adalah sebuah kerajaan yang tidak bertanggungjawab," katanya sebagai menyelar perbuatan pihak pembangkang yang tidak henti-henti mengkritik akta berkenaan.
Akta MKN yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 3 Disember dan diluluskan di Dewan Negara pada 22 Disember lalu, digubal dengan mengambil kira persekitaran dan jenis ancaman yang melanda negara dan dunia mutakhir ini.
Mana-mana kawasan, yang akan diisytiharkan sebagai sebuah kawasan keselamatan akan diteliti tahap keselamatannya dan tindakan seterusnya akan dipertimbangkan oleh pasukan keselamatan.
Akta MKN ini memberi kuasa kepada Perdana Menteri atas nasihat majlis, mengisytiharkan kawasan tertentu di Malaysia sebagai kawasan keselamatan, dengan peruntukan 15 kuasa khas kepada Pengarah Operasi dan pasukan keselamatan.
Musa Hassan dalam pada itu juga turut menambah pihak pembangkang juga boleh turut serta dalam perbincangan ahli-ahli majlis MKN sekiranya ada keperluan untuk berbuat demikian.
"Di dalam undang-undang ini MKN boleh melantik mana-mana pihak untuk berbincang jika wujudnya masalah keselamatan. Panggillah pihak pembangkang untuk bincang bagaimana nak perbaiki keadaan.
"Ia berkaitan soal keselamatan, maka kena bincang bersama. Pembangkang kena sokong, melainkan mereka hendak merosakan keselamatan. Jadi kita kena positif tentang hal ini, (tetapi) kenapa perlu selalu negatif?," soalnya.
Pembangkang sebelum ini mendakwa Akta MKN akan memberi kuasa mutlak kepada Perdana Menteri untuk mengisytiharkan sesuatu kawasan sebagai kawasan keselamatan dan menyifatkan berlaku pertindihan kuasa diantara Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong.
DAP dgn Singapore kan berpisah tiada. hati2!
BalasPadam