Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengecam tindakan Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang didakwanya berterusan membuat tuduhan tidak berasas terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).
Menyifatkan Mohammad Nizar sebagai ‘penipu bersiri’, Zambry berkata bekas menteri besar Perak itu dilihat tanpa henti memfitnah dan membangkitkan isu tertentu walaupun telah diperjelaskan kerajaan sebelum ini.
“Saya amati perangai dia tidak habis-habis buat serangan. Bayangkan bulan Ramadan pun dia nak menipu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan jentera pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar di sini semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Mohammad Nizar yang mengatakan Zambry memberi tanah kepada kroni tertentu dalam ceramah umum parti itu di Kampung Sayong Lembah, di sini semalam.
Mohammad Nizar yang dipetik dalam media sosial turut berkata “Allah mahu orang Kuala Kangsar ‘mengajar’ (memberikan kekalahan kepada) BN menerusi PRK Kuala Kangsar”.
Mengenai dakwaan kerajaan negeri memberikan tanah seluas 45,324 hektar kepada pihak tertentu, Zambry berkata perkara itu telahpun diperjelaskan sebelum ini termasuk pada sidang Dewan Undangan Negeri Perak.
“Pembangkang ini telah kekeringan dan habis modal, sebab itu akan buat pembohongan,” katanya.
Zambry juga turut meminta agar para pengundi di Parlimen Kuala Kangsar supaya tidak terpengaruh dengan pelbagai dakyah fitnah dan tohmahan yang dilemparkan pembangkang itu.
PRK Parlimen Kuala Kangsar akan diadakan pada 18 Jun ini berikutan kematian Anggota Parlimennya dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu. Ia bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru antara BN, PAS, Amanah dan Bebas.
masa nizar jdi mb dulu pun ada tanah yg diberi hak milik.....siapa yg dapat tu?
BalasPadam