Air Mata Syahdu - Jamal ditemani seorang 'Ibu' |
BERDERAI air mata penonton saat Jamal Abdillah memperdengarkan vokal lunaknya dengan penghayatan penuh emosi ketika mendendangkan lagu Kasihnya Ibu.
Malah, Jamal sendiri tidak mempedulikan keadaan sekeliling yang menyaksikan linangan air matanya tatkala menjayakan persembahan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 6 Mei lalu.
“Ketika arwah ibu masih hidup, saya tidak menjalankan tanggungjawab sebagai anak dengan baik dan sering mengabaikannya kerana kesibukan kerja. Saya juga sering menimbulkan masalah dan membuatkannya susah hati,” katanya sebak.
Tampil dengan sut hitam/merah, Jamal muncul di pentas kira-kira jam 9.30 malam dan membuka persembahan menerusi lagu hit, Azura. Azura juga pernah dipentaskan ke dalam bentuk filem pada 1984 dan diarahkan Deddy M. Borhan.
Tatkala intro lagu dimainkan oleh Belle Fatah selaku pengarah muzik pada malam itu, penonton memberikan tepukan gemuruh malah, ada seorang peminat wanita yang khabarnya datang ke Kuala Lumpur seorang diri menyaksikan persembahan raja pop itu seperti diserang histeria.
Pada malam yang cukup menyentuh perasaan itu, Jamal menyampaikan lagu-lagu seperti Syurga Di Telapak Kaki Ibu dan rangkaian lagu-lagu solo seperti Menimbang Rasa, Seniman Menangis dan Penawar Kasih.
Manakala, untuk segmen lagu-lagu medley yang membariskan single popularnya pula, Jamal memilih Aku Penghibur, Perjalananku, Berdendang Dalam Tangisan, Oh Di Mana, Kau Lupa Janji, Terharu dan Gadis Melayu.
Diikuti medley rangkaian lagu Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Getaran Jiwa, Hujan Di Tengahari, Putus Sudah Kasih Sayang serta Tunggu Sekejap.
Termasuk, medley ‘slow’ Di Mana Bayangan Mu, Sepi Seorang Perindu, Hilang Lah Rinduku, Keluhan Perantau, Antara Yakin dan Curiga.
Membangkitkan rasa ingin bergoyang di kalangan penonton, Jamal turut menyampaikan lagu-lagunya dalam versi dangdut seperti Nasib Diriku, Ke mana Kau Bawa, Sendiri, Cenderawasih, Kerlingan, Cinta Selayang Pandang dan Mati Hidup Semula.
Difahamkan, sebelum persembahan bermula, Jamal baru beberapa jam pulang dari Sabah untuk mempromosikan The Legendary Concert.
Dalam kepenatan, suara Jamal yang sedikit serak basah malam itu tetap berjaya dilontarkan dengan baik.
Selain persembahan hiburan, turut diadakan pertunjukan fesyen oleh butik terkenal seperti Butik Cosry, Butik Altelia Amani dan Gedung Kain Terkemuka Jakel.
Dalam pada itu, bagi membantu ibu-ibu yang memerlukan bantuan, pihak penganjur MSiS Events & Services mendermakan sebahagian daripada hasil kutipan kepada Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor.
Turut menyerikan acara persembahan itu, penyanyi Ibnoreza yang diundang sebagai penyanyi undangan. Dia menyampaikan lagu-lagu seperti Meneka Dalam Kesamaran, Mimpi Yang Tak Sudah termasuk Jumpa Mesra yang dinyanyikannya secara duet bersama Jamal.
0 comments:
Catat Ulasan
Baca cerita lanjut di http://semuthitam80.blogspot.com
Ruangan Komen ini terpaksa dimoderatekan kerana terdapat komen yang tidak berkaitan seperti 'Perkhidmatan Ghaib' yang ditawarkan oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.
Pembaca boleh meninggalkan komen asalkan ianya tidak melanggar Akta SKMM. Namun perlu diingatkan, sebarang komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab pembaca sendiri dan ianya tidak ada kaitan dengan admin blog ini.
Sekian, Terima Kasih.