Pelantun lagu Aku Suka Dia ini pada dasarnya popular di kalangan pendengar. Ia terbukti, lagu nukilan sepenuhnya oleh gadis 20 tahun itu, menduduki tangga lima di carta Hot FM. Begitu juga keadaannya di radio-radio tempatan berbahasa Melayu lain.
Mengambil kira mereka yang sudah melayari lagunya di YouTube yang mencecah satu juta orang, ia membuktikan karyanya sedang diperhatikan.
Cuma, di dada akhbar mahupun majalah, wajahnya masih kurang dikenali kerana dihalang oleh statusnya sebagai penuntut Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dalam jurusan Sarjana Kejuruteraan Bioproses.
Status itu juga menghalang dia untuk muncul dengan lebih kerap di khalayak umum apalagi memenuhi undangan nyanyian.
Namun memandangkan sekarang sehingga September ini dia sedang bercuti semester, lantas Ainan merebut peluang untuk sesi fotografi bersama pihak media.
“Berbeza cuti semester sebelumnya, kali ini saya lebih sibuk kerana memenuhi sesi fotografi, program TV dan rangka promosi single Aku Suka Dia.
“Memang situasi sekarang saya terasa janggal tapi inilah saja masanya yang boleh saya manfaatkan untuk mempromosi kerjaya nyanyian saya. Setakat ini saya sudah jalankan 15 aktiviti promosi.
“Ini kerana perjanjian dengan syarikat rakaman, saya dan keluarga meminta agar tidak diganggu ketika kuliah. Pelajaran adalah keutamaan saya.
Lantas saya berjanji akan memberikan komitmen ketika cuti semester. Mujurlah pihak pengurusan syarikat rakaman begitu memahami dan toleransi dengan permintaan saya,” katanya.
Tidak pernah membayangkan dirinya akan terjebak dalam lapangan seni meskipun mengakui gemar menyanyi tetapi bukan untuk dijadikan karier, Ainan bersyukur.
“Sejak bersekolah lagi saya aktif dalam persembahan nyanyian dan sampai sekarang pun di universiti saya masih mengambil bahagian dalam acara pentas.
“Saya langsung tidak menyangka minat terhadap muzik akhirnya menjadi serius ke tahap ini. Semuanya gara-gara klip video Aku Suka Dia dimuat naik ke dalam YouTube oleh peminat facebook saya kira-kira dua tahun lalu.
"Lagu itu saya hasilkan selepas SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) selepas dicabar salah seorang peminat yang minta saya menghasilkan lagu sendiri selepas dia kerap melihat video saya bermain gitar dan menyanyikan lagu-lagu artis popular.
“Saya menyiapkan lagu itu pada hari yang sama di mana tatkala memetik gitar saya mendapat ilham untuk menghasilkan melodinya lalu serta-merta saya siapkan liriknya kerana bimbang lupa.
Hari yang sama juga saya muat naik video itu ke dalam facebook sebelum ada salah seorang peminat memasukkannya pula ke laman YouTube,” katanya.
Bicara Ainan lagi, sejak beberapa ketika videonya dimuat naik ke dalam YouTube, beberapa tawaran daripada syarikat rakaman terima namun dia terpaksa menolak pelawaan itu dengan baik.
“Namun apabila label Music Valley menawarkan untuk menjadi artis rakaman mereka, kebetulan ibu bapa saya memberi keizinan. Pun begitu, ia datang dengan syarat iaitu nyanyian hanyalah hobi kerana pelajaran harus diutamakan dulu.
“Saya bersetuju kerana saya sendiri tak pernah fikir menjadi artis meskipun hobi menyanyi sudah tersemat sejak di bangku sekolah lagi,” katanya.


0 comments:
Catat Ulasan
Baca cerita lanjut di http://semuthitam80.blogspot.com
Ruangan Komen ini terpaksa dimoderatekan kerana terdapat komen yang tidak berkaitan seperti 'Perkhidmatan Ghaib' yang ditawarkan oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.
Pembaca boleh meninggalkan komen asalkan ianya tidak melanggar Akta SKMM. Namun perlu diingatkan, sebarang komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab pembaca sendiri dan ianya tidak ada kaitan dengan admin blog ini.
Sekian, Terima Kasih.