Peguam Karpal Singh memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, Jumaat bahawa kenyataan beliau berhubung pengguguran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar oleh Sultan Perak dibuat secara ikhlas.
Karpal mengadakan sidang akhbar pada 6 Februari 2009 di pejabatnya bagi menyatakan kedudukan undang-undang dalam isu itu untuk faedah orang ramai dan menegaskan beliau tidak mempunyai agenda peribadi terhadap Sultan Perak.
"Ia adalah kenyataan bona fide (dengan niat baik) sebagai seorang anggota Parlimen dan saya menyokong kenyataan itu dengan undang-undang kes di mana Raja-Raja boleh didakwa," katanya ketika disoal peguam Gobind Singh Deo pada perbicaraan kes hasutan beliau di depan Hakim Azman Abdullah.
Semalam, Karpal tidak bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badarudin bahawa beliau tidak berhemat dan telah mengelirukan orang ramai dengan kenyataannya itu.
"Saya menjadi peguam hampir 43 tahun, saya mengkaji apa yang berlaku ketika krisis politik di Perak dan tidak ada apa-apa hasutan dalam kenyataan saya," katanya.
Pada prosiding hari ini, Karpal turut merujuk rakaman Hansard Parlimen bertarikh 18 Januari 1993 bagi menunjukkan bahawa dalam perdebatan ketika pembentangan Rang Undang-Undang Kekebalan Raja-Raja Melayu, terdapat lebih banyak kenyataan berbaur hasutan.
"Tiada sebarang tindakan diambil terhadap anggota Parlimen yang melakukan kesalahan itu meskipun mereka tidak mempunyai kekebalan daripada pendakwaan jenayah.
"Di bawah Perkara 81 Perlembagaan Persekutuan, semua rakyat adalah sama di sisi undang-undang namun tindakan terhadap saya berhubung apa yang saya katakan berkaitan krisis politik Perak jelas menunjukkan terdapat pendakwaan selektif di pihak pejabat Peguam Negara," katanya.
"Sehingga hari ini, tiada kenyataan direkod oleh polis berhubung laporan yang dibuat oleh saya terhadap kedua-dua ahli politik," katanya sebelum mengakhiri keterangannya sebagai saksi pertama pembelaan.
Sementara itu, Gobind memaklumkan mahkamah bahawa pembelaan akan memanggil dua saksi rasmi berkaitan laporan polis berkenaan diikuti bekas Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Pejabat Peguam Negara Datuk Kamaluddin Md Said.
Pada 11 Jun 2010, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Karpal daripada pertuduhan mengeluarkan perkataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak di firma guamannya di Jalan Pudu Lama, Kuala Lumpur pada 6 Feb 2009.
Bagaimanapun, pada 20 Januari 2010, Mahkamah Rayuan sebulat suara mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi selepas membenarkan rayaun pendakwaan dan memerintahkan Karpal membela diri.
Karpal, 73, didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa pengguguran Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar dan pelantikan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir oleh Sultan Perak boleh dipersoal di mahkamah.
0 comments:
Catat Ulasan
Baca cerita lanjut di http://semuthitam80.blogspot.com
Ruangan Komen ini terpaksa dimoderatekan kerana terdapat komen yang tidak berkaitan seperti 'Perkhidmatan Ghaib' yang ditawarkan oleh mereka yang cuba mengambil kesempatan.
Pembaca boleh meninggalkan komen asalkan ianya tidak melanggar Akta SKMM. Namun perlu diingatkan, sebarang komen yang ditinggalkan adalah tanggungjawab pembaca sendiri dan ianya tidak ada kaitan dengan admin blog ini.
Sekian, Terima Kasih.