Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa dinasihatkan meminta maaf kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di atas tindakannya yang menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini secara keseluruhannya.
Penganalisis Politik, Dr Jeniri Amir berkata, kemurkaan baginda itu menunjukkan tindakan Sivarasa sememangnya melampau dan tidak menghormati titah baginda yang pernah disuarakan beberapa kali sebelum ini agar tidak menjadikan masjid atau surau sebagai medan berpolitik.
“Baginda merupakan ketua agama Islam dan sudah menjadi tanggungjawab baginda menjaga kesucian Islam daripada pihak yang tidak tahu menghormati kesucian agama tersebut.
“Pada masa sama, saya melihat titah sultan itu memang wajar dan tepat pada masanya iaitu ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa,” katanya.
Jeniri yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berkata, pengurusan masjid yang dilihat bersekongkol dengan Sivarasa juga harus memberikan penjelasan yang tepat kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkenaan apa yang terjadi.
“Jika Sivarasa tidak memberikan ceramah politik dan hanya menyerahkan sumbangan, barangkali kesalahan mereka itu tidak sebesar seperti yang didakwa.
“Bagaimanapun, jika Jais memutuskan tidak boleh mengadakan sebarang program dalam masjid oleh bukan Islam, maka mereka kena patuh kepada arahan tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, pihaknya berharap amaran keras yang dititahkan baginda itu dapat memberi kesedaran kepada seluruh ahli politik, mahupun individu agar tidak mengulangi perbuatan sama yang boleh memberikan implikasi tidak baik kepada keharmonian kaum di negara ini.
“Perkara ini penting bagi mengelak perpecahan dalam kalangan umat Islam dan menimbulkan konflik di antara satu sama lain,” katanya.
Kelmarin, Sultan Selangor melahirkan rasa dukacita terhadap tindakan yang dilakukan oleh Sivarasa yang berucap dalam Masjid An Nur di Kampung Melayu Subang, pada 24 Mei yang lalu.
Baginda menyifatkan perbuatan Sivarasa itu melampaui batas kerana masih berucap di dalam masjid meskipun sudah berkali-kali diingatkan agar masjid tidak dijadikan tempat berpolitik, sama ada bagi yang beragama Islam mahupun bukan Islam.
Bos kaki sondol dia pun sama lah.
BalasPadamnazir&ajk masjid kemaruk dedak sangat2...mamalukan bangsa melayu&Islam.
BalasPadamUndi punya pasal...
BalasPadam